VIDEO
Apakah syot balas?
Gabungan sinematografi dan pengeditan filem, syot balas ialah cara pembikin filem menyampaikan emosi dan menunjukkan sudut pandangan watak — dalam bentuk sebenar dan kiasan.
syot balas ialah teknik penceritaan yang teruji dan terbukti.
Teknik asas perfileman yang hampir seusia dengan Hollywood sendiri, syot balasmewujudkan kesan perbualan yang berterusan dengan memotong antara sudut kamera yang berselang-seli. Ini bentuk pengeditan kesinambungan — keajaiban perfileman yang membolehkan filem menceritakan kisah yang konsisten apabila menggunakan lebih daripada satu syot. Setelah anda menetapkan adegan dengan syot pembuka adegan, anda mungkin akan menggunakan beberapa bentuk syot balas untuk menunjukkan watak-watak anda berinteraksi antara satu sama lain dan dengan persekitaran mereka.
Syot balas bermula dengan syot seorang watak, kemudian memotong kepada syot perkrara atau orang yang sedang dilihat oleh watak tersebut (terbalik daripada sudut syot pertama), dan akhirnya kembali kepada syot awal untuk menunjukkan reaksi watak. Urutan pemotongan bolak-balik antara dua syot ini boleh berterusan selama yang diperlukan oleh adegan tersebut.
"Syot ini telah wujud sejak dahulu kerana ia berkesan," ujar Nick Escobar, penerbit filem bebas. "Ia membantu anda menceritakan kisah dengan cepat dan berkesan."
Cara menggunakan syot balas.
Syot balas bermanfaat dalam adegan dialog, yang membolehkan pembikin filem menggambarkan perbualan dengan menggunakan dua syot sudut dan kemudian memotong antara kedua-dua nya semasa proses pengeditan filem untuk memberi gambaran bahawa perbualan itu berlaku dalam masa nyata.
"Seseorang berkata sesuatu dan kita melihat syot reaksi watak yang lain," kata Escobar. "Kemudian mereka membalas dan kita melihat orang dari syot pertama bertindak balas, dan bolak-balik itu berterusan."
Namun begitu, terdapat banyak kepelbagaian yang boleh anda gunakan apabila menggambarkan perbualan sengan menggunakan struktur syot balas. Contohnya, sesetengah pembikin filem memilih untuk menggunakan syot tunggal, dengan hanya satu watak kelihatan dalam bingkai pada satu masa. Ini sering dirujuk sebagai syot POV, atau syot sudut pandangan, kerana memberi penonton kesan bahawa mereka melihat melalui perspektif setiap watak.
Atau pengarah mungkin menggunakan syot atas bahu, yang memasukkan sebahagian belakang dan bahu watak dalam bingkai sambil memberi tumpuan pada watak yang sedang bercakap dengan watak yang membelakangi kamera. "Kadang-kadang ini dipanggil bingkai kotor, kerana anda mengotorkan skrin dengan pelbagai perkara tambahan," jelas Escobar. "Memilih yang ingin anda gunakan bergantung pada suasana dan perasaan yang anda cuba timbulkan."
Anda tidak memerlukan dua watak dalam satu adegan untuk menggunakan syot balas. Apabila digandingkan dengan syot sisipan selingan prop dalam adegan, ia boleh menunjukkan tindak balas emosi watak terhadap item tersebut atau persekitaran mereka.
"Anda boleh menunjukkan watak melihat sepucuk surat di atas meja, kemudian menunjukkan sudut balas dengan watak itu masih melihat surat tersebut, dengan sedikit bahagian sampul kelihatan dalam bingkai," kata Padraic O'Meara, pengarah dan sinematografer. "Dan kemudian kita dapat melihat perasaan orang itu tentang surat yang baru dipungut. Mungkin mereka mula menangis. Dan jika kita tiada surat dalam bingkai, kita tidak akan tahu sebab mereka menangis."
Merancang untuk syot balas.
Sewaktu membuat persediaan untuk penggambaran sesuatu adegan menggunakan syot balas, anda perlu meluangkan masa untuk merancang syot kamera dan penempatan pelakon terlebih dahulu untuk memastikan anda tidak melanggar peraturan 180 darjah.
"Pada asasnya, di mana-mana sahaja anda meletakkan kamera anda, anda hanya boleh menunjukkan perkara dalam lingkungan 180 darjah dari kedudukan itu," jelas Escobar. "Ini merupakan cara untuk membantu mengekalkan orientasi penonton. Jika saya melakukan syot balas dengan dua orang bercakap dan dalam satu syot salah seorang melihat ke kanan, orang yang satu lagi perlu melihat ke kiri supaya garis mata mereka sepadan dan kelihatan seperti mereka sedang saling berbual."
Bergantung pada saiz syot dan kedalaman medan yang digunakan oleh pengendali kamera anda, anda perlu memastikan latar belakang setiap watak sepadan dengan lokasi mereka seperti yang ditunjukkan dalam syot induk.
"Memahami tiga dimensi persekitaran anda amat penting semasa menggambarkan syot balas," ujar O'Meara. "Terutamanya apabila menyediakan pencahayaan yang diperlukan untuk mewujudkan mood dan keseragaman." Contohnya, watak yang bahunya diterangi dari kanan dalam satu syot hendaklah tetap diterangi dari kanan apabila kita melihat wajahnya dalam syot seterusnya.
Gunakan syot balas untuk membina watak.
Selain menunjukkan dua orang salling berbual, anda boleh bersifat kreatif dengan rangka kerja syot balas yang mudah untuk memberi penonton butiran halus tentang perhubungan antara watak-watak itu. Jika anda cuba memberi gambaran bahawa salah seorang watak dalam adegan itu lemah atau berada dalam keadaan yang kekurangan, anda boleh mengambil syot mereka dari sudut tinggi untuk membuatkan mereka kelihatan kecil. Atau, untuk memberi gambaran bahawa watak itu berkuasa dan mengawal keadaan, anda boleh membuat penggambaran dari sudut rendah supaya mereka kelihatan lebih besar, mengancam, dan lebih menguasai skrin.
Pergerakan kamera juga boleh memberi petunjuk tentang perubahan perhubungan antara watak. Contohnya, apabila polis sedang menyoal siasat Joker dalam filem The Dark Knight arahan Christopher Nolan, perbualan mereka dirakamkan dari sudut kamera yang stabil dan tidak bergerak. Tetapi apabila Batman tiba dan memulakan soal siasat yang lebih agresif, syot balas dialog mereka dirakamkan dengan kamera genggam, mewujudkan pergerakan kamera yang lebih mendadak dan tidak dapat diramal yang membayangkan kekacauan yang sedang tercetus dalam konflik antara kedua-dua watak ini.
"Apabila membicarakan tentang komunikasi, terdapat banyak lagi aspek selain teks," kata O'Meara. "Ada subteks dan emosi di sebaliknya serta cara watak menyampaikan dan menerima maklumat. Ini penting untuk dilakukan dengan cara yang betul, dan di sinilah syot balas boleh menjadi sangat berkesan."
https://main--cc--adobecom.aem.page/cc-shared/fragments/products/premiere/do-more-with-premiere