Fotografi
28 jenis gaya fotografi.
Daripada potret kepada kewartawanan foto hinggalah fotografi produk, terdapat sejumlah besar genre yang boleh anda lakukan. Ketahui tentang pilihan anda sebelum anda memilih gaya untuk difokuskan.
Jenis fotografi yang manakah sesuai untuk anda?
Apa sahaja yang anda minati, sama ada manusia, haiwan, alam semula jadi, makanan atau fesyen, terdapat jenis fotografi yang menjurus kepada subjek khusus tersebut. Segala-galanya di bawah matahari, secara literal, adalah sesuatu yang anda boleh jadikan gambar. Dan jumlah pilihan yang terlalu banyak boleh mengelirukan. Temui laluan anda dengan senarai genre ini yang terbuka kepada penggemar dan juga jurugambar profesional.
Ambil gambar dunia semula jadi.
Jika tumbuhan, haiwan atau kawasan luar menarik minat anda, jenis fotografi ini mungkin sesuai untuk anda.
Fotografi alam semula jadi: Dapatkan petua untuk merakam fotografi luar dan hidupan liar yang hebat. Dengan cuaca yang tidak menentu dan pencahayaan yang sukar dikawal, adalah penting untuk merancang lebih awal dan membawa peralatan yang betul, sama ada matlamat anda adalah untuk mengambil foto gunung, pokok atau rusa.
Fotografi landskap: Ketahui lebih lanjut tentang masa, pencahayaan dan cabaran teknikal untuk merakam pemandangan yang indah, hutan tebal atau padang pasir yang luas. Dapatkan petua daripada jurugambar landskap tentang keperluan tripod dan kanta dan kelajuan pengatup yang terbaik.
Astrofotografi: Bagi mereka yang sering terpukau memandang langit malam, astrofotografi (suatu bentuk fotograpi dedahan lama) ialah genre fotografi yang baik untuk diterokai. Dengan tripod dan kelajuan pengatup yang sangat panjang, anda boleh merakam pemandangan bintang yang menakjubkan, imej selang masa dan lukisan cahaya yang menunjukkan pergerakan bintang di langit apabila Bumi berputar.
Fotografi ribut: Jika anda terpesona dengan langit di troposfera, anda boleh mengkaji cuaca dan mengambil gambar yang menakjubkan melalui fotografi pencahayaan dan ribut. Peralatan yang betul dan langkah keselamatan adalah penting ketika merakam cuaca. Dengan kesabaran, latihan dan masa yang tepat, gambar yang memukau menanti anda di masa hadapan.
Fotograf haiwan peliharaan: Berinteraksi rapat dengan haiwan dan ambil gambar haiwan peliharaan orang ramai. Fotografi haiwan mempunyai cabaran uniknya tersendiri, tetapi persediaan dan keupayaan untuk menyesuaikan diri semasa penggambaran akan membantu anda mengambil syot yang hebat. Selain itu, pelajari beberapa teknik pasca pemprosesan untuk menjadikan foto anjing dan kucing berbulu gelap lebih menonjol.
Fotografi makro: Daripada serangga dan burung kecil hingga penggambaran jarak dekat terperinci bunga dan buah-buahan, foto makro menjadikan objek yang kecil kelihatan lebih besar daripada saiz sebenar. Untuk merakam foto ini anda perlukan kanta makro dan satah fokus yang sangat sempit, menjadikan ruang kerja yang stabil amat penting. Tetapi dengan petua fotografi dan nasihat daripada pakar, anda boleh menyingkap keindahan tersembunyi dunia kecil ini..
Fotografi bunga: Bagi mereka yang lebih berminat dengan flora berbanding dengan fauna, foto bunga adalah genre fotografi yang hebat untuk diterokai. Subjek pasif ini merupakan cara yang baik untuk pemula belajar tentang kedalaman medan yang cetek, pencahayaan, pendedahan dan kemahiran lain.
Rakam pemandangan bandar dan struktur.
Fotografi boleh menjadi artistik atau komersial apabila anda mengambil gambar struktur buatan manusia, dan petua untuk menunjukkan bangunan dalam cahaya yang paling menarik adalah berbeza bergantung pada matlamat anda.
Fotografi seni bina: Daripada syot pencakar langit hinggalah gargoyle gaya gotik, fotografi seni bina menumpukan kepada cara mempamerkan sudut pandang unik bangunan dan menonjolkan ciri yang menarik. Kanta sudut lebar dan pengetahuan tentang cara merakam dalam cahaya semula jadi akan membantu.
Fotografi hartanah: Untuk pendekatan lebih komersial dalam fotografi bangunan, fotografi hartanah memberikan peluang kerjaya dengan merakam gambar rumah. Nasihat tentang pilihan teknikal berkaitan peralatan dan pencahayaan boleh membantu anda membina asas untuk mengembangkan kemahiran fotografi hartanah anda.
Fotografi dron: Anda boleh mengambil gambar alam semula jadi dari udara, tetapi dron memberikan perspektif yang sangat unik kepada gambar bangunan, lebuh raya dan jambatan. Temui cabaran yang mungkin dihadapi semasa mengendalikan dron untuk merakam gambar dan dapatkan nasihat tentang cara mendapatkan imej terbaik dari pandangan mata burung.
Fotografi udara: Fotografi udara merangkumi mana-mana foto yang diambil dari perspektif tinggi, termasuk dron. Sama ada anda ingin mencuba fotografi dari helikopter atau puncak pencakar langit, siasat selok-belok kaedah penggambaran berpaksikan langit ini.
Berkarya dengan manusia.
Daripada fotografi fesyen hingga potret peribadi, jenis fotografi ini sesuai jika anda mahu fokus pada subjek manusia.
Fotografi potret: Jurugambar potret perlu menguasai kamera mereka dan mampu membuat subjek berasa selesa. Potret yang hebat bukan sekadar gambar yang cantik, tetapi ia menceritakan kisah seseorang itu. Dapatkan lebih banyak maklumat tentang pencahayaan potret dan gaya duduk dan tangan untuk subjek anda bagi membantu meningkatkan hasil penggambaran anda.
Fotografi syot kepala: Bentuk fotografi potret yang lebih komersial, syot kepala ialah foto profesional yang digunakan untuk resume, tapak web dan profil media sosial. Ketahui cara syot kepala berbeza daripada potret dan cara mengambil gambar subjek yang berkualiti tinggi yang sesuai untuk tujuan perniagaan.
Fotografi fesyen: Bekerjasama dengan model untuk mencipta sesi penggambaran bergaya. Sama ada matlamat anda ialah fotografi peragaan, katalog atau syot editorial, keupayaan untuk menerima arahan klien dan memberi panduan kepada model, sambil merakam gambar yang hebat, adalah kunci kejayaan.
Fotografi sukan: Walaupun mendokumentasikan sukan secara langsung tergolong dalam alam kewartawanan foto fotografi sukan komersial pula boleh mempamerkan pakaian dan produk, yang biasanya dipakai oleh atlet. Tidak kira jenis foto sukan yang anda ingin ambil, keupayaan bekerja dalam persekitaran pantas bersama orang ramai adalah amat penting.
Fotografi dokumentari: Kronikal acara komuniti dan aspek penting lain dalam kehidupan orang ramai dalam genre ini sesuai untuk wartawan foto yang bercita-cita tinggi atau sesiapa sahaja yang mempunyai sifat ingin tahu. Tidak seperti penggambaran dipilih susun yang mana jurugambar boleh mengubah bentuk dan melaraskan model atau persekitaran mereka, fotografi dokumentari bertujuan untuk merakam realiti dan menceritakan kisah sebenar melalui foto.
Ambil foto gaya hidup.
Daripada peristiwa penting hingga detik kecil dalam kehidupan seharian, dapatkan syot kilat dunia dan orang di sekeliling anda dengan gaya fotografi kandid ini.
Fotografi jalanan: Satu permulaan yang sesuai buat jurugambar baharu, bentuk fotografi gaya hidup ini memfokuskan pada merakam kehidupan dalam tetapan tertentu. Daripada kesibukan pasar hinggalah kepada suasana taman tempatan, jika anda cukup lincah untuk mencari perspektif baharu sambil peka dengan persekitaran anda, anda boleh merakam fotografi jalanan yang menarik.
Fotografi perkahwinan: Fotografi acara hari terpenting dalam hidup pasangan adalah tanggungjawab besar. Tetapi dengan peralatan, latihan dan persediaan yang betul, anda boleh menghasilkan foto perkahwinan yang hebat. Ketahui butiran teknikal dan persekitaran yang diperlukan jurugambar perkahwinan untuk merakam foto sepanjang hari perkahwinan yang panjang dan sibuk.
Belajar kemahiran fotografi komersial.
Jika anda ingin menjadikan hobi fotografi sebagai sumber pendapatan, jenis fotografi ini mungkin sesuai dengan minat anda.
Fotografi makanan: Keupayaan untuk mengambil syot makanan yang mengecurkan boleh membantu anda mendapatkan tugasan komersil yang mencipta iklan restoran, foto menu dan imej untuk tapak web hospitaliti. Kemahiran ini juga sangat berguna jika anda ingin menyiarkan gambar yang menyelerakan di media sosial. Jurugambar makanan juga boleh melesenkan kerja mereka sebagai fotograf stok. Ketahui helah dan teknik untuk membantu anda menghasilkan beberapa foto makanan yang menarik.
Fotografi produk: Daripada kasut sniker kepada peralatan perkhemahan hinggalah solekan, jurugambar produk mempamerkan barangan jenama yang berbeza dalam gambar yang jelas dan menarik. Terokai petua untuk menggayakan dan mengedit gambar produk.
Cipta syot artistik.
Temui cara baharu untuk menghasilkan imej menarik melalui penerokaan seni fotografi yang berbeza ini.
Fotografi alam benda: Seperti gaya lukisan dengan nama yang sama, fotografi alam benda merangkumi foto objek tidak bernyawa yang disusun dalam komposisi tertentu. Daripada mangkuk buah tradisional kepada pelbagai barangan jualan garaj yang menarik, alam benda adalah kategori yang luas. Kemahiran yang diperlukan untuk fotografi alam benda juga boleh membantu dalam laluan kerjaya ke arah fotografi makanan dan produk.
Fotografi hitam dan putih: Bentuk fotografi yang ringkas ini sangat sesuai untuk mengilhamkan hasil seni, tetapi ia juga merupakan latihan berguna untuk mempelajari kemahiran asas komposisi foto, tanpa gangguan warna.
Fotografi seni halus: Daripada alam benda kepada landskap dan juga potret, jenis ekspresi fotografi ini ditakrifkan oleh jurugambar. Subjek dan syot yang diambil semata-mata untuk tujuan artistik jurugambar adalah perkara yang meletakkan foto ini dalam kategori seni halus.
Fotografi dedahan berganda: Dedahan berganda, satu kesan foto yang dahulunya dilakukan secara manual tetapi kini lebih mudah dengan perisian pengeditan digital, timbunan dua imej untuk mencipta karya baru. Ketahui tekniknya, kemudian ikuti inspirasi anda untuk mencuba dan mencipta jenis foto dedahan berganda baharu.
Fotografi alam nyata: Jika imej provokatif ialah matlamat anda, fotografi alam nyata ialah genre yang hebat untuk diterokai. Surrealisme memaparkan imej yang dikenali dengan cara yang unik seperti mimpi. Ini adalah medium yang sempurna untuk dilakukan jika anda berminat untuk mencipta imej komposit daripada foto sedia ada.
Fotografi abstrak: Fotografi abstrak adalah tentang sudut pandangan. Zum masuk dekat pada bumi yang retak atau zum keluar pada syot udara untuk mencari perspektif yang menarik. Jika anda berminat untuk merakam sudut pandang baharu objek dan landskap biasa, inilah jenis fotografi untuk anda.
Tidak kira jenis fotografi popular yang anda pilih untuk lakukan, pemahaman yang baik tentang kemahiran asas fotografi akan membantu anda. Ketahui lebih lanjut tentang panjang fokus, kelajuan pengatup, ISO, apertur dan kedalaman medan. Dan asah kemahiran anda dengan garis panduan komposisi foto berbeza, seperti peraturan ketiga. Untuk pemula mutlak, ketahui lebih lanjut sama ada kamera DSLR atau tanpa cermin yang sesuai untuk anda. Walau bagaimanapun anda bermula, dengan alat pengeditan seperti Adobe Lightroom dan Photoshop yang tersedia untuk anda, anda boleh meningkatkan atau tambah penapis kepada gambar, dan banyak lagi. Banyak perkara untuk diterokai, tetapi langkah pertama ialah memilih subjek atau genre dan terus keluar untuk menangkap gambar.
https://main--cc--adobecom.hlx.page/cc-shared/fragments/seo-articles/do-more-lightroom-color-blade